Wednesday, 16 May 2012

cerpen sempena Hari Guru


terima kasih kerana sudi menyinggah ke blog saya. cerpen ini saya sediakan sempena hari guru 16 Mei 2012. selamat hari guru buat semua guru-guru di Malaysia. jasa cikgu tidak akan kami lupakan.

 
HADIAH TERAKHIR ASYRAF. . . . 

"kring…..kring......" jam sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Kedengaran bunyi ayam berkokok di luar sana. Perlahan-lahan Asyraf membuka matanya. Gerak badan Asyraf umpama orang yang baru sahaja habis berkebun. Hanya beberapa jam saja Asyraf dapat melelapkan matanya. Hampir semalaman dia menghabiskan masa dengan mengulang kaji pelajaran.
                "eh, hari ni aku ada peperiksaan sejarah. Kenapa aku boleh terlupa?" tiba-tiba saja Asyraf tersentak dan teringat akan peperiksaan yang perlu dia lalui pagi ini. Asyraf terus mencapai tuala mandinya. Setelah selesai membersihkan diri, Asyraf segera mendirikan solat subuh. Dia tidak suka melengah-lengahkan waktu solat. Asyraf adalah seorang yang patuh dengan ajaran agama islam. Sekali pun dia tidak pernah meninggalkan solatnya. Dia tahu solat itu merupakan tiang agama.
                "Assalamualaikum ibu. Selamat pagi," sapa Asyraf kepada ibunya, pn. Senah.
                "waalaikumsalam," jawab ibunya ringkas. "Asyraf dah solat?"
                "sudah ibu."
                "Alhamdulillah."
                "Ibu masak apa pagi ni?" Tanya Asyraf walaupun dia sudah tahu apa yang selalu ibunya sediakan setiap hari.
                "Macam biasa Asyraf. Kita bukannya orang yang senang. Apa lagi yang ibu mampu berikan. Ayah Asyraf dah tak ada. Ibu pun hanya seorang penoreh sahaja. Bersyukurlah Allah masih berikan rezeki kepada kita. Asyraf belajarlah bersungguh-sungguh. Mungkin satu hari nanti kejayaan Asyraf itu mampu mengubah hidup kita. Asyraflah satu-satunya anak harapan ibu."
                "Baiklah ibu. Asyraf akan belajar bersungguh-sungguh." Kata Asyraf.
                Asyraf memang seorang pelajar yang pintar. Dia suka membantu rakan-rakannya dalam pelajaran. Tetapi dia sering dijadikan bahan ejekan rakan-rakannya yang nakal kerana dia seorang anak yang miskin. Dia sabar menghadapi segala ejekan yang dilemparkan kepadanya. Dia tahu itu semua dugaan daripada tuhan. Dia kuatkan semangat untuk terus mengejar impiannya menjadi seorang juruterbang.
 
 

                "Assalamualaikum cikgu Azmi." Sapa Asyraf dengan sopan.
                " Waalaikumsalam, Asyraf. Ceria saja pagi ni. Sudah bersedia nak jawab kertas sejarah ke?" usik cikgu Azmi. Cikgu Azmi adalah salah seorang cikgu yang paling rapat dengannya. Dia menganggap cikgu Azmi seperti ayahnya sendiri.
                "Sudah cikgu. Semalaman saya mengulang kaji mata pelajaran ni," jawab Asyraf dengan tenang sambil tersenyum.
                "Alhamdulillah, cikgu doakan Asyraf dapat menjawab dengan betul nanti. Tapi Asyraf janganlah yakin sangat dengan jawapan Asyraf tu. Semak jawapan banyak kali. Manalah tahu yang salah sempat dibetulkan," kata cikgu Azmi.
                ‘’InsyaAllah cikgu."
                Asyraf berjalan menuju ke kelasnya.
                Ketika dia sedang menjawab kertas peperiksaannya. Dia mendengar kawan sebelah kanannya memanggil-manggil namanya dengan nada yang tidak boleh didengari oleh cikgu. Dahi Asyraf mula berkerut. Perlukah dia menoleh? Perlukah dia memberi jawapan kepada rakannya itu? Lama kelamaan Asyraf mula mengendahkan rakannya. Dia mahu belajar untuk jujur dengan dirinya. Dia tidak mahu bersubahat dengan rakan-rakannya.
                Setelah selesai menjawab peperiksaan, Daud memarahi Asyraf di luar kelas kerana tidak memberikan jawapan kepadannya. Daud memang sering membuli Asyraf. Dialah yang suka mengejek-ngejek Asyraf di sekolah. Tetapi setiap kali Daud membuli Asyraf cikgu Azmi akan membela Asyraf. Cikgu Azmi tahu Asyraf selalu di buli oleh rakan-rakannya.



                Matahari sebesar nyiru telah beredar beberapa depa dari puncak bangunan.Asyraf duduk dihadapan rumah sambil memerhatikan kanak-kanak yang sedang bermain. Buku kimia sudah sedia di tangannya. Tetapi melihat air mukanya seperti ada bahasa yang berbicara di matanya. Keresahan dalam hatinya di nampakkan pada raut wajahnya yang berkerut-kerut itu.
                "Abang Asyraf!" satu suara tiba-tiba muncul dari belakang. Tetapi Asyraf masih termenung di hadapan rumahnya.
                "Abang Asyraf!" oh, abang Asyraf! Sedang sedang fikir apa tu? Jauh termenung,’’ usik Farhan, salah seorang pelajar tingkatan 3 yang bersekolah sebumbung dengan Asyraf. Lamunan Asyraf terhenti.
                "Eh, Farhan. Dah lama sampai?" sapa Asyraf. "Minta maaflah abang tak dengar Farhan panggil abang tadi."
                "Farhan baru saja sampai tadi. Kenapa abang nampak risau? Tadi pun termenung saja. Abang ada masalah ke?" Tanya Farhan.
                "Ish taklah. Abang tak ada masalah. Cuma abang fikirkan sesuatu. Lusa dah hari guru. Abang ingat nak bagi hadiah kepada cikgu Azmi. Cikgu Azmi baik sangat dengan abang. Tapi abang tak tahu nak bagi apa. Lagi pun abang bukannya berasal daripada orang-orang yang berada," ujar Asyraf.
                "Abang Asyraf…… abang beri sebiji epal tu pun dah sangat berharga bagi cikgu," sampuk Farhan.
                "tak apalah Farhan. Nanti abang fikir-fikirkan. Mari kita belajar dahulu." Perbualan mereka tamat di situ. Asyraf mula mengajar Farhan dalam mata pelajaran yang lemah bagi Farhan. Akan tetapi, fikiran Asyraf masih lagi melayang-layang memikirkan perihal tadi. Tiba-tiba sahaja, dia terfikir tentang kain pelekat yang hendak dia hadiahkan kepada ayahnya sebelum ayahnya meninggal dunia suatu ketika dahulu. Dia masih menyimpan kain pelekat itu dan tidak pernah dipakainya. Kalau Asyraf berikan kain pelekat itu kepada cikgu Azmi, adakah ibu izinkan? Persoalan itu menggangu fikirannya sehingga dia hilang tumpuan hendak mengulang kaji pelajaran.

 

 
                 Matahari mula meyembunyikan cahayanya. Kini giliran bulan pula memantulkan cahaya menerangi kerak bumi. Ibu Asyraf pulang dengan keletihan. Asyraf faham keadaan ibunya yang bekerja keras mencari wang demi menyara keluarganya. Dalam keadaan letih sekali pun, ibu Asyraf masih melemparkan senyuman di raut wajahnya.
                "Asyraf, pergi mandi dan jangan lupa solat. Tak baik kita melewat-lewatkan waktu solat," perintah  ibunya.
                "Lepas solat nanti kita makan bersama-sama."
                "Baiklah ibu," jawab Asyraf pendek.
                Awan berarak lesu. Angin malam bertiup membelai langsir rumah Asyraf diikuti bunyi anjing menggonggong. Asyraf dan ibunya makan makanan yang sudah sedia di atas meja.
                "Ibu…………." Asyraf membuka kata-katanya. Tetapi ada rentak risau di hujung nafasnya.
                "Ya, Asyraf?" Tanya ibunya.
                Asyraf terdiam sejenak. Tiba-tiba hatinya diamuk rasa gementar. Entah mengapa dia seakan-akan kepayahan untuk menuturkan bicara. Amat berat lidahnya untuk melepaskan apa yang tersirat di dadanya. Bagaikan ada batu yang menindih lidahnya. Di wajah pn. Senah sudah bermukim garis-garis kedut. Sabar dia menunggu apa yang hendak dituturkan oleh Asyraf.
                "Ibu….. kalau Asyraf hadiahkan kain pelekat yang Asyraf nak bagi arwah ayah dulu kepada cikgu Azmi, ibu izinkan tak?" Tanya Asyraf perlahan-lahan.
                Pn.Senah hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Senyuman ibunya meneduhkan rawan dihati Asyraf. 2 minit kemudian pn. Senah membuka bicaranya.
                "Asyraf, kain pelekat yang Asyraf nak beri tu elok lagi?" Tanya Pn. Senah.
                "Masih nampak baru lagi ibu. Asyraf tak pernah pakai pun. Kain pelekat tu Asyraf simpan dalam almari baju," jawab Asyraf.
                "kenapa Asyraf tak cakap dengan ibu? Ibu boleh belikan yang lain." Sambung ibunya.
                "Asyraf tak nak menyusahkan ibu. Kalau Asyraf cakap dekat ibu, nanti ibu akan bekerja keras mencari wang. Kain pelekat  tu elok lagi bu. Dahulu Asyraf tak kesampaian nak beri kain tu pada arwah ayah. Apa salahnya sekarang Asyraf bagi kain tu pada cikgu Azmi. Asyraf dah anggap cikgu Azmi itu macam ayah Asyraf sendiri," hujah Asyraf.
                Makan malam sudah selesai. Asyraf kembali mengulang kaji mata pelajaran kimia kerana esok dia akan menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Malam sudah berengsot ke pertengahannya. Asyraf masih belum tidur lagi. Tiba-tiba sahaja Asyraf terfikir hendak menulis sekeping kad untuk cikgu Azmi sempena Hari Guru nanti.



                Malam menginjak ke pagi dan fajar mula menampakkan kilauan jingganya. Pagi itu Asyraf terbangun agak lewat sedikit. Perasaan gembiranya masih tersimpan jauh di lubuk hati Asyraf. Seperti selalu pn. Senah, ibu Asyraf menyediakan sarapan untuk Asyraf. Sambil Asyraf menjamu sarapannya, dia sempat bercerita kepada ibunya yang dia mimpi bertemu dengan arwah ayahnya. Perasaan resah mula menurap dalam diri pn. Senah. Asyraf segera mengenakan stoking ke kakinya. Dia takut dia akan terlewat ke sekolah.
                " ibu, kalau Asyraf tak ingat nak beri hadiah tu pada cikgu Azmi, nanti ibu tolong ingatkan Asyraf ye," Asyraf memesan kepada ibunya sebelum dia melangkah keluar dari rumahnya.
                Dahi ibunya mula berkerut. Gelodak resah di dalam dadanya berombak kencang. Apakah maksud disebalik kata-kata Asyraf tadi? persoalan demi persoalan silih berganti memenuhi lautan fikirannya
               Asyraf berdiri di sebelah kiri jalan berhadapan dengan sekolahnya. Dia menunggu masa yang sesuai untuk melintas jalan. Asyraf berpaling muka ke arah pondok yang tidak jauh daripada sekolahnya. Matanya memandang jauh ke arah ruang yang kosong. Dia melihat kelibat arwah ayahnya sedang melambai-lambaikan tangannya memanggil Asyraf. Tanpa melihat kiri dan kanan jalan, Asyraf terus melulu ke arah pondok itu lalu dia dilanggar oleh sebuah kereta produa Myvi yang berwarna putih. Darah Asyraf banyak mengalir keluar. Orang ramai segera membantu Asyraf. Farhan yang melihat kejadian itu berlari sepantas yang mungkin untuk memberitahu kepada cikgu tentang kemalangan yang melibatkan Asyraf itu.
 "cikgu Azmi!" jerit Farhan. "cik…gu… Asyraf…. Asyraf cikgu….."
 "kenapa dengan Asyraf?" Tanya cikgu Azmi. "kenapa kamu tercungap-cungap ni? Apa sebenarnya yang dah berlaku?"  sambung cikgu Azmi dengan nada cemas.
              "Asyraf kemalangan cikgu. Dekat depan sekolah tu," kata Farhan sambil mengangkat tangannya menunjukkan arah itu.
                Cikgu Azmi segera ke tempat kejadian itu berlaku. Dia melihat Asyraf sudah di dalam sebuah kereta dan hendak di bawa ke hospital. Cikgu Azmi meminta izin daripada pengetua sekolah untuk memberitahu khabar ini kepada pn. Senah, ibu Asyraf. Cikgu Azmi pun bergegas ke rumah Asyraf.
                "Puan, Asyraf terlibat dalam kemalangan di hadapan sekolah. Anak puan berada di hospital sekarang ini. Mari saya hantar puan ke sana," kata cikgu Azmi. Berita itu seumpama petir yang memanah hangus hati pn. Senah.

 

                “Doktor, bagaimana dengan anak saya?” Tanya pn. Senah dengan nada yang agak resah.
                “Kami harap puan bersabar. Anak puan mengalami pendarahan di bahagian otaknya. Kami sudah berusaha sedaya upaya kami. Ajal dan maut semuanya Tuhan yang tentukan. Maafkan saya puan. Anak puan tidak dapat diselamatkan.”
                Pn. Senah merebahkan tubuhnya, menyerahkan kesedihan dan kepiluan yang dia alami kepada lantai keras yang bisu. Jantungnya bagaikan mati. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui gelombang perasaan ibu Asyraf. Hatinya seakan berdoa meminta jarum jam berhenti sebentar. Dia menangis, meraung di depan jasad Asyraf. Cikgu Azmi yang masih berada di hospital itu cuba menenangkan pn. Senah.
                “Puan, kita perlu redha dengan pemergian Asyraf. Biarlah rohnya tenang di sana. Sama –sama kita berdoa agar dia di tempatkan dalam kalangan orang –orang yang beriman. Banyak –banyaklah bersabar puan. Pasti ada hikmah di sebalik ujian ini. Allah tak kan menguji umatnya melebihi daripada batas kemampuan dirinya sendiri. “ pujuk cikgu Azmi menenangkan ibu Asyraf,Pn. Senah.
                Akhirnya pn. Senah bertawakal dan redha atas pemergian Asyraf. Jenazahnya dibawa pulang dan dikebumikan di tanah perkuburan islam. Cikgu Azmi datang pada malam kenduri tahlil Asyraf. Dia hendak membantu pn. Senah menguruskan kenduri tersebut.
                “Cikgu, ini hadiah daripada Asyraf. Sebelum dia meninggal, dia menyediakan hadiah ni untuk cikgu sempena Hari Guru. Inilah hajat terkahir dia,” kata pn. Senah sambil memberikan kotak kecil yang berisi kain pelekat Asyraf selepas kenduri itu selesai.
Cikgu Azmi menerimanya dengan tangan terbuka. Itulah hadiah pertama yang dia dapat sempena Hari Guru. Walaupun hadiah tu tak besar dan tak seberapa mewah, tetapi hadiah itu ikhlas daripada seorang anak murid yang sangat baik. Tiba sahaja di rumah, cikgu Azmi melihat isi di dalam kotak itu. Dia mengeluarkan sehelai kain pelekat yang masih elok rupanya daripada kotak tersebut. Di dalam kotak itu juga disertakan sekali sebuah kad ucapan. Lalu cikgu Azmi pun membaca kat tersebut……
 
Assalamualaikum..
                Saya ingin meminta maaf kepada cikgu sekiranya saya telah melukakan hati cikgu selama ini. Terima kasih di atas segala jasa baik cikgu kepada saya kerana sabar dan tabah mendidik saya dari dulu hingga kini. Hanya hadiah ini sahaja yang dapat saya hadiahkan kepada cikgu. Walaupun hadiah ini tidak seberapa mewah bagi cikgu, tetapi hadiah ini sahaja yang mampu saya berikan kepada cikgu sempena Hari Guru ini. Saya ingin mengucapkan “SELAMAT HARI GURU, cikgu.”

Cikgulah pelita hidup saya.
“TERIMA KASIH CIKGU”

ASYRAF
 
             “Hati Asyraf memang suci. Mudah-mudahan dia di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” bisik cikgu Azmi dalam hati. Dia tersentuh akan kata-kata yang di tulis oleh Asyraf dalam kad itu. Hadiah itu seumpama berlian yang paling berharga buat cikgu Azmi. Hari Guru pada kali ini mengukir kegembiraan di hati cikgu Azmi walaupun ada sedikit kepiluan atas pemergian Asyraf. Dia bersyukur mempunyai seorang murid yang berhati mulia seperti Asyraf.


~TAMAT~

Terima kasih kerana sudi membaca hasil tulisan saya……..



Jasamu wahai guru

Guru,
Kehadiranmu membawa cahaya kepada kami,
Menerangi kegelapan,
Memandu kami yang meraba-raba,
Mencari sebuah kehidupan.
Tiada sedikit pun rasa jemu,
Menghadapi kerenah kami,
Dalam serba kenakalan
Dan segala ragam.

Guru,
Kau tetap cekal dan tabah,
Walaupun kami menimbulkan segala kerenah,
Di wajahmu tetap terpancar
Senyuman tanda keikhlasan.
Tidak kauhambur dengan kemarahan,
Terus membimbing kami,
Dengan penuh kasih dan sabar.

Guruku,
Terima kasih di atas jasa-jasamu,
Terima kasih di atas tunjuk ajarmu,
Segalanya abadi dilipatan hati.


SELAMAT HARI GURU^^