terima kasih kerana sudi menyinggah ke blog saya. cerpen ini saya sediakan sempena hari guru 16 Mei 2012. selamat hari guru buat semua guru-guru di Malaysia. jasa cikgu tidak akan kami lupakan.
HADIAH TERAKHIR ASYRAF. . . .
"kring…..kring......" jam sudah menunjukkan pukul 5.30
pagi. Kedengaran bunyi ayam berkokok di luar sana. Perlahan-lahan Asyraf
membuka matanya. Gerak badan Asyraf umpama orang yang baru sahaja habis
berkebun. Hanya beberapa jam saja Asyraf dapat melelapkan matanya. Hampir
semalaman dia menghabiskan masa dengan mengulang kaji pelajaran.
"eh, hari ni aku ada peperiksaan sejarah. Kenapa aku
boleh terlupa?" tiba-tiba saja Asyraf tersentak dan teringat akan peperiksaan
yang perlu dia lalui pagi ini. Asyraf terus mencapai tuala mandinya. Setelah
selesai membersihkan diri, Asyraf segera mendirikan solat subuh. Dia tidak suka
melengah-lengahkan waktu solat. Asyraf adalah seorang yang patuh dengan ajaran
agama islam. Sekali pun dia tidak pernah meninggalkan solatnya. Dia tahu solat
itu merupakan tiang agama.
"Assalamualaikum ibu. Selamat pagi," sapa Asyraf
kepada ibunya, pn. Senah.
"waalaikumsalam," jawab ibunya ringkas. "Asyraf dah
solat?"
"sudah ibu."
"Alhamdulillah."
"Ibu masak apa pagi ni?" Tanya Asyraf walaupun dia
sudah tahu apa yang selalu ibunya sediakan setiap hari.
"Macam biasa Asyraf. Kita bukannya orang yang senang.
Apa lagi yang ibu mampu berikan. Ayah Asyraf dah tak ada. Ibu pun hanya seorang
penoreh sahaja. Bersyukurlah Allah masih berikan rezeki kepada kita. Asyraf
belajarlah bersungguh-sungguh. Mungkin satu hari nanti kejayaan Asyraf itu
mampu mengubah hidup kita. Asyraflah satu-satunya anak harapan ibu."
"Baiklah ibu. Asyraf akan belajar bersungguh-sungguh."
Kata Asyraf.
Asyraf memang seorang pelajar yang pintar. Dia suka
membantu rakan-rakannya dalam pelajaran. Tetapi dia sering dijadikan bahan
ejekan rakan-rakannya yang nakal kerana dia seorang anak yang miskin. Dia sabar
menghadapi segala ejekan yang dilemparkan kepadanya. Dia tahu itu semua dugaan
daripada tuhan. Dia kuatkan semangat untuk terus mengejar impiannya menjadi
seorang juruterbang.
"Assalamualaikum cikgu
Azmi." Sapa Asyraf dengan sopan.
" Waalaikumsalam, Asyraf. Ceria saja pagi ni. Sudah
bersedia nak jawab kertas sejarah ke?" usik cikgu Azmi. Cikgu Azmi adalah
salah seorang cikgu yang paling rapat dengannya. Dia menganggap cikgu Azmi
seperti ayahnya sendiri.
"Sudah cikgu. Semalaman saya mengulang kaji mata pelajaran
ni," jawab Asyraf dengan tenang sambil tersenyum.
"Alhamdulillah, cikgu doakan Asyraf dapat menjawab
dengan betul nanti. Tapi Asyraf janganlah yakin sangat dengan jawapan Asyraf
tu. Semak jawapan banyak kali. Manalah tahu yang salah sempat dibetulkan,"
kata cikgu Azmi.
‘’InsyaAllah cikgu."
Asyraf berjalan menuju ke kelasnya.
Ketika dia sedang menjawab kertas peperiksaannya. Dia
mendengar kawan sebelah kanannya memanggil-manggil namanya dengan nada yang
tidak boleh didengari oleh cikgu. Dahi Asyraf mula berkerut. Perlukah dia
menoleh? Perlukah dia memberi jawapan kepada rakannya itu? Lama kelamaan Asyraf
mula mengendahkan rakannya. Dia mahu belajar untuk jujur dengan dirinya. Dia
tidak mahu bersubahat dengan rakan-rakannya.
Setelah selesai menjawab peperiksaan, Daud memarahi
Asyraf di luar kelas kerana tidak memberikan jawapan kepadannya. Daud memang
sering membuli Asyraf. Dialah yang suka mengejek-ngejek Asyraf di sekolah.
Tetapi setiap kali Daud membuli Asyraf cikgu Azmi akan membela Asyraf. Cikgu
Azmi tahu Asyraf selalu di buli oleh rakan-rakannya.
Matahari sebesar nyiru telah beredar beberapa depa
dari puncak bangunan.Asyraf duduk dihadapan rumah sambil memerhatikan
kanak-kanak yang sedang bermain. Buku kimia sudah sedia di tangannya. Tetapi
melihat air mukanya seperti ada bahasa yang berbicara di matanya. Keresahan
dalam hatinya di nampakkan pada raut wajahnya yang berkerut-kerut itu.
"Abang Asyraf!" satu suara tiba-tiba muncul dari
belakang. Tetapi Asyraf masih termenung di hadapan rumahnya.
"Abang Asyraf!" oh, abang Asyraf! Sedang sedang
fikir apa tu? Jauh termenung,’’ usik Farhan, salah seorang pelajar tingkatan 3
yang bersekolah sebumbung dengan Asyraf. Lamunan Asyraf terhenti.
"Eh, Farhan. Dah lama sampai?" sapa Asyraf. "Minta
maaflah abang tak dengar Farhan panggil abang tadi."
"Farhan baru saja sampai
tadi. Kenapa abang nampak risau? Tadi pun termenung saja. Abang ada masalah
ke?" Tanya Farhan.
"Ish taklah. Abang tak ada masalah. Cuma abang
fikirkan sesuatu. Lusa dah hari guru. Abang ingat nak bagi hadiah kepada cikgu
Azmi. Cikgu Azmi baik sangat dengan abang. Tapi abang tak tahu nak bagi apa.
Lagi pun abang bukannya berasal daripada orang-orang yang berada," ujar
Asyraf.
"Abang Asyraf…… abang beri sebiji epal tu pun dah
sangat berharga bagi cikgu," sampuk Farhan.
"tak
apalah Farhan. Nanti abang fikir-fikirkan. Mari kita belajar dahulu."
Perbualan mereka tamat di situ. Asyraf mula mengajar Farhan dalam mata
pelajaran yang lemah bagi Farhan. Akan tetapi, fikiran Asyraf masih lagi
melayang-layang memikirkan perihal tadi. Tiba-tiba sahaja, dia terfikir tentang
kain pelekat yang hendak dia hadiahkan kepada ayahnya sebelum ayahnya meninggal
dunia suatu ketika dahulu. Dia masih menyimpan kain pelekat itu dan tidak
pernah dipakainya. Kalau Asyraf berikan kain pelekat itu kepada cikgu Azmi,
adakah ibu izinkan? Persoalan itu menggangu fikirannya sehingga dia hilang
tumpuan hendak mengulang kaji pelajaran.
Matahari mula
meyembunyikan cahayanya. Kini giliran bulan pula memantulkan cahaya menerangi
kerak bumi. Ibu Asyraf pulang dengan keletihan. Asyraf faham keadaan ibunya
yang bekerja keras mencari wang demi menyara keluarganya. Dalam keadaan letih
sekali pun, ibu Asyraf masih melemparkan senyuman di raut wajahnya.
"Asyraf, pergi mandi dan jangan lupa solat. Tak baik
kita melewat-lewatkan waktu solat," perintah ibunya.
"Lepas solat nanti kita makan
bersama-sama."
"Baiklah ibu," jawab Asyraf pendek.
Awan berarak lesu. Angin malam bertiup membelai langsir
rumah Asyraf diikuti bunyi anjing menggonggong. Asyraf dan ibunya makan makanan
yang sudah sedia di atas meja.
"Ibu…………." Asyraf membuka kata-katanya. Tetapi ada
rentak risau di hujung nafasnya.
"Ya, Asyraf?" Tanya ibunya.
Asyraf terdiam sejenak. Tiba-tiba hatinya diamuk rasa
gementar. Entah mengapa dia seakan-akan kepayahan untuk menuturkan bicara. Amat
berat lidahnya untuk melepaskan apa yang tersirat di dadanya. Bagaikan ada batu
yang menindih lidahnya. Di wajah pn. Senah sudah bermukim garis-garis kedut.
Sabar dia menunggu apa yang hendak dituturkan oleh Asyraf.
"Ibu….. kalau Asyraf hadiahkan kain pelekat yang
Asyraf nak bagi arwah ayah dulu kepada cikgu Azmi, ibu izinkan tak?" Tanya
Asyraf perlahan-lahan.
Pn.Senah hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Senyuman
ibunya meneduhkan rawan dihati Asyraf. 2 minit kemudian pn. Senah membuka
bicaranya.
"Asyraf, kain pelekat yang Asyraf nak beri tu elok
lagi?" Tanya Pn. Senah.
"Masih nampak baru lagi ibu. Asyraf tak pernah pakai
pun. Kain pelekat tu Asyraf simpan dalam almari baju," jawab Asyraf.
"kenapa Asyraf tak cakap dengan ibu? Ibu boleh
belikan yang lain." Sambung ibunya.
"Asyraf tak nak menyusahkan ibu. Kalau Asyraf cakap
dekat ibu, nanti ibu akan bekerja keras mencari wang. Kain pelekat tu elok lagi bu. Dahulu Asyraf tak kesampaian
nak beri kain tu pada arwah ayah. Apa salahnya sekarang Asyraf bagi kain tu
pada cikgu Azmi. Asyraf dah anggap cikgu Azmi itu macam ayah Asyraf sendiri,"
hujah Asyraf.
Makan malam sudah selesai. Asyraf kembali mengulang
kaji mata pelajaran kimia kerana esok dia akan menduduki peperiksaan
pertengahan tahun. Malam sudah berengsot ke pertengahannya. Asyraf masih belum
tidur lagi. Tiba-tiba sahaja Asyraf terfikir hendak menulis sekeping kad untuk
cikgu Azmi sempena Hari Guru nanti.
Malam menginjak ke pagi dan fajar mula menampakkan
kilauan jingganya. Pagi itu Asyraf terbangun agak lewat sedikit. Perasaan
gembiranya masih tersimpan jauh di lubuk hati Asyraf. Seperti selalu pn. Senah,
ibu Asyraf menyediakan sarapan untuk Asyraf. Sambil Asyraf menjamu sarapannya,
dia sempat bercerita kepada ibunya yang dia mimpi bertemu dengan arwah ayahnya.
Perasaan resah mula menurap dalam diri pn. Senah. Asyraf segera mengenakan
stoking ke kakinya. Dia takut dia akan terlewat ke sekolah.
" ibu, kalau Asyraf tak ingat nak beri hadiah tu pada
cikgu Azmi, nanti ibu tolong ingatkan Asyraf ye," Asyraf memesan kepada ibunya
sebelum dia melangkah keluar dari rumahnya.
Dahi
ibunya mula berkerut. Gelodak resah di dalam dadanya berombak kencang. Apakah
maksud disebalik kata-kata Asyraf tadi? persoalan demi persoalan silih berganti
memenuhi lautan fikirannya
Asyraf berdiri di sebelah
kiri jalan berhadapan dengan sekolahnya. Dia menunggu masa yang sesuai untuk
melintas jalan. Asyraf berpaling muka ke arah pondok yang tidak jauh daripada
sekolahnya. Matanya memandang jauh ke arah ruang yang kosong. Dia melihat
kelibat arwah ayahnya sedang melambai-lambaikan tangannya memanggil Asyraf.
Tanpa melihat kiri dan kanan jalan, Asyraf terus melulu ke arah pondok itu lalu
dia dilanggar oleh sebuah kereta produa Myvi yang berwarna putih. Darah Asyraf
banyak mengalir keluar. Orang ramai segera membantu Asyraf. Farhan yang melihat
kejadian itu berlari sepantas yang mungkin untuk memberitahu kepada cikgu
tentang kemalangan yang melibatkan Asyraf itu.
"cikgu Azmi!" jerit Farhan. "cik…gu… Asyraf….
Asyraf cikgu….."
"kenapa
dengan Asyraf?" Tanya cikgu Azmi. "kenapa kamu tercungap-cungap ni? Apa
sebenarnya yang dah berlaku?" sambung
cikgu Azmi dengan nada cemas.
"Asyraf kemalangan cikgu. Dekat depan sekolah tu,"
kata Farhan sambil mengangkat tangannya menunjukkan arah itu.
Cikgu Azmi segera ke tempat kejadian itu berlaku. Dia
melihat Asyraf sudah di dalam sebuah kereta dan hendak di bawa ke hospital.
Cikgu Azmi meminta izin daripada pengetua sekolah untuk memberitahu khabar ini
kepada pn. Senah, ibu Asyraf. Cikgu Azmi pun bergegas ke rumah Asyraf.
"Puan, Asyraf terlibat dalam kemalangan di hadapan
sekolah. Anak puan berada di hospital sekarang ini. Mari saya hantar puan ke
sana," kata cikgu Azmi. Berita itu seumpama petir yang memanah hangus hati pn.
Senah.
“Doktor, bagaimana dengan anak saya?” Tanya pn. Senah
dengan nada yang agak resah.
“Kami harap puan bersabar. Anak puan mengalami
pendarahan di bahagian otaknya. Kami sudah berusaha sedaya upaya kami. Ajal dan
maut semuanya Tuhan yang tentukan. Maafkan saya puan. Anak puan tidak dapat
diselamatkan.”
Pn. Senah merebahkan tubuhnya, menyerahkan kesedihan
dan kepiluan yang dia alami kepada lantai keras yang bisu. Jantungnya bagaikan
mati. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui gelombang perasaan ibu Asyraf. Hatinya
seakan berdoa meminta jarum jam berhenti sebentar. Dia menangis, meraung di
depan jasad Asyraf. Cikgu Azmi yang masih berada di hospital itu cuba
menenangkan pn. Senah.
“Puan, kita perlu redha dengan pemergian Asyraf.
Biarlah rohnya tenang di sana. Sama –sama kita berdoa agar dia di tempatkan
dalam kalangan orang –orang yang beriman. Banyak –banyaklah bersabar puan.
Pasti ada hikmah di sebalik ujian ini. Allah tak kan menguji umatnya melebihi
daripada batas kemampuan dirinya sendiri. “ pujuk cikgu Azmi menenangkan ibu
Asyraf,Pn. Senah.
Akhirnya pn. Senah bertawakal dan redha atas
pemergian Asyraf. Jenazahnya dibawa pulang dan dikebumikan di tanah perkuburan
islam. Cikgu Azmi datang pada malam kenduri tahlil Asyraf. Dia hendak membantu
pn. Senah menguruskan kenduri tersebut.
“Cikgu, ini hadiah daripada Asyraf. Sebelum dia
meninggal, dia menyediakan hadiah ni untuk cikgu sempena Hari Guru. Inilah
hajat terkahir dia,” kata pn. Senah sambil memberikan kotak kecil yang berisi
kain pelekat Asyraf selepas kenduri itu selesai.
Cikgu
Azmi menerimanya dengan tangan terbuka. Itulah hadiah pertama yang dia dapat sempena
Hari Guru. Walaupun hadiah tu tak besar dan tak seberapa mewah, tetapi hadiah
itu ikhlas daripada seorang anak murid yang sangat baik. Tiba sahaja di rumah,
cikgu Azmi melihat isi di dalam kotak itu. Dia mengeluarkan sehelai kain
pelekat yang masih elok rupanya daripada kotak tersebut. Di dalam kotak itu
juga disertakan sekali sebuah kad ucapan. Lalu cikgu Azmi pun membaca kat
tersebut……
Assalamualaikum..
Saya ingin meminta maaf kepada cikgu sekiranya saya
telah melukakan hati cikgu selama ini. Terima kasih di atas segala jasa baik
cikgu kepada saya kerana sabar dan tabah mendidik saya dari dulu hingga kini. Hanya
hadiah ini sahaja yang dapat saya hadiahkan kepada cikgu. Walaupun hadiah ini
tidak seberapa mewah bagi cikgu, tetapi hadiah ini sahaja yang mampu saya
berikan kepada cikgu sempena Hari Guru ini. Saya ingin mengucapkan “SELAMAT
HARI GURU, cikgu.”
Cikgulah pelita hidup saya.
“TERIMA KASIH CIKGU”
ASYRAF
“Hati Asyraf memang suci. Mudah-mudahan dia di
tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” bisik cikgu Azmi dalam
hati. Dia tersentuh akan kata-kata yang di tulis oleh Asyraf dalam kad itu.
Hadiah itu seumpama berlian yang paling berharga buat cikgu Azmi. Hari Guru
pada kali ini mengukir kegembiraan di hati cikgu Azmi walaupun ada sedikit
kepiluan atas pemergian Asyraf. Dia bersyukur mempunyai seorang murid yang
berhati mulia seperti Asyraf.
~TAMAT~
Terima kasih
kerana sudi membaca hasil tulisan saya……..
Jasamu wahai guru
Guru,
Kehadiranmu
membawa cahaya kepada kami,
Menerangi
kegelapan,
Memandu kami yang
meraba-raba,
Mencari sebuah
kehidupan.
Tiada sedikit pun
rasa jemu,
Menghadapi
kerenah kami,
Dalam serba
kenakalan
Dan segala ragam.
Guru,
Kau tetap cekal
dan tabah,
Walaupun kami
menimbulkan segala kerenah,
Di wajahmu tetap
terpancar
Senyuman tanda
keikhlasan.
Tidak kauhambur
dengan kemarahan,
Terus membimbing
kami,
Dengan penuh
kasih dan sabar.
Guruku,
Terima kasih di
atas jasa-jasamu,
Terima kasih di
atas tunjuk ajarmu,
Segalanya abadi
dilipatan hati.
SELAMAT HARI
GURU^^